Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Menteri Sabah 2010

on 30 Agustus 2010

Pada 26hb Ogos yang lepas, telah berlangsung satu majlis berbuka puasa  di Dewan Merdeka , Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC, Kuala Lumpur yang telah dihadiri oleh Y.A.B. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman serta  1,300 mahasiswa/i Sabah yang sedang menuntut di Semenanjung Malaysia dari 28 Universiti awam (IPTA) dan Universiti Swasta (IPTS). Maljis ini merupakan majlis tahunan anjuran Kumpulan Yayasan Sabah yang sudah dimulakan sejak tahun 2006 lagi. Seperti kebiasaan, majlis ini merupakan majlis yang sangat ditunggu-tunggu oleh mahasiswa/i Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia kerana ia dapat mempereratkan hubungan diantara mahasiswa/i Sabah serta dengan pemimpin nombor satu Negeri Sabah. Majlis ini juga dapat mengubati kerinduan  yang dialami oleh para mahasiswa/i yang berjauhan dengan keluarga masing-masing.


Tentatif majlis bermula pada pukul 5 petang lagi bagi menunggu kedatangan mahasiswa/i dari setiap universiti. Setelah kami tiba di perkarangan Dewan Merdeka, PWTC, keadaan di sana agak riuh kerana kebanyakan peserta majlis telah pun tiba lebih awal. Setelah semua mahasiswa/i selesai mendaftar diri di kaunter pendaftaran, majlis pun bermula. Setiap peserta majlis mengambil tempat masing-masing mengikut kedudukan yang telah ditetapkan. Terdapat beberapa meja yang telah dikhaskan untuk wakil-wakil dari setiap universiti. Saya dan sembilan rakan dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) duduk di meja nombor 5 iaitu meja yang telah dikhaskan untuk universiti kami. rakan-rakan selebihnya duduk di meja yang tidak bernombor. Acara pertama yang disajikan kepada kami ialah ceramah agama sementara menunggu masa untuk berbuka. ceramah ini telah disampaikan oleh salah seorang penceramah yang  agak terkenal di Malaysia iaitu Ust. Mohd Ridhuan Tee Abdullah. Beliau merupakan seorang mualaf yang berbangsa cina. Ceramah yang beliau sampaikan memberi banyak input berguna kepada kami serta begitu menarik kerana diselitkan dengan gurauan yang melucukan. Gurauan tersebut dapat menarik minat para pendengar serta dapat mengelakkan kebosanan. Beberapa minit sebelum azan berkumandang menandakan masuk waktu magrib serta waktu berbuka puasa, beliau berhenti berceramah dan pengerusi majlis mengambil tempat untuk meneruskan acara. Tidak lama kemudian pengerusi majlis mengumumkan ketibaan YAB. Ketua Menteri Sabah dan selepas beberapa ketika azan pun berkumandang. Doa dibacakan dan masing-masing terus menikmati juadah berbuka puasa. Seperti biasa hanya makanan ringan sahaja yang disajikan seperti minuman, buah kurma dah kuih-muih. Selepas selesai solat Maghrib berjemaah barulah kami menikmati juadah bebuka dengan makanan berat.

Ustaz Ridhuan Tee Abdullah memberi ceramah

Sajian makanan yang disediakan


Setelah selesai menikmati juadah berbuka yang begitu menyelerakan, kami pun bergerak ke surau untuk menunaikan solat Isyak seterusnya solat Terawikh secara berjemaah. Solat terawikh itu telah diimamkan oleh salah seorang ustaz tang telah dijemput khas. Setelah selesai solat, majlis diteruskan pula dengan ucapan dari seorang wakil YDP mahasiswa/i Sabah, Pengarah Yayasan Sabah, YBhg. Tan Sri Datu Khalil Bin Datu H j. Jamalul dan seterusnya disempurnakan pula dengan ucapan dari YAB. Ketua Menteri Sabah. Dalam Ucapan itu, Ketua Menteri menasihati para mahasiswa supaya bersungguh-sungguh menimba ilmu kerana Sabah memerlukan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan berilmu, memiliki sahsiah dan keperibadian yang unggul untuk memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi. Beliau akhiri ucapan itu dengan beberapa rangkap pantun yang begitu menarik. Setelah itu, majlis diteruskan dengan pemberian duit raya dari YAB. Ketua Menteri Sabah kepada semua wakil mahasiswa/i dari setiap Universiti. Dalam majlis ini juga kami telah dihiburkan oleh dua kumpulan nasyid yang dianggotai oleh beberapa orang mahasiswa dari Sabah. Salah satu kumpulan nasyid itu ialah kumpulan Feelhoney (cuma bertiga: Bie, Kimo & Amin). Persembahan yang mereka sajikan begitu menarik dan menyeronokkan. Majlis berakhir pada pukul 11 setengah malam dan semua mahasiswa/i mula bergerak untuk balik ke universiti masing-masing.

P/s:
Bagi saya, majlis berbuka puasa kali ini begitu menyeronokkan kerana dapat bertemu dengan kawan-kawan lama yang telah sekian lama tidak berjumpa. Ia juga dapat mengeratkan hubungan kami sesama mahasiswa dari sabah dalam kalangan mahasiswa/i seuniversiti mahupun berlainan universiti. Selain itu, yang paling penting ialah kami juga mendapat duit raya dari Pemimpin nombor satu kami dari Sabah iaitu YAB. Ketua Menteri Sabah. Terima kasih diatas duit raya yang diberikan.

Kumpulan Nasyid FeelHoney membuat persembahan

Rakan-rakan dari UTeM




Dewan Merdeka, PWTC

Wakil Mahasiswa/i UTeM mengambil duit raya

Ranking: 5

{ 0 Comments... read them below or add one }

Posting Komentar

 
© JOMKONGSISTORY.COM All Rights Reserved