Perubahan besar bakal berlaku dalam hidup
pelakon sensasi, Izreen Azminda Aznam,27 , pada tahun ini. Ini kerana kurang
lebih dua minggu lagi, akan melangkah ke gerbang perkahwinan setelah setahun
menyulam cinta.
Memilih Muhd. Riza Baharudin, 29, sebagai teman
hidupnya, Izreen yang popular dengan drama Juvana dan Tentang Dhia ini nyata
tidak lagi dapat menyembunyikan debarannya tatkala jari menghitung hari bahagia
yang semakin menghampiri.
Izreen juga sama seperti mana-mana bakal
pengantin lain. Perasaannya kini bercampur-baur.
Ada rasa teruja, ada rasa gemuruh dan kadang kala
mindanya runsing apabila memikirkan apakah langkahnya ini mampu
terikat hingga ke hujung nyawa.
Namun, empunya diri sedaya upaya bagi menguatkan
emosinya agar tenang kembali. Mungkin juga kerana dia percaya bahawa cinta yang
dibina mampu menjadi pemangkin yang kukuh buat hubungan mereka berdua.
Barangkali ada yang masih belum tahu bahawa ini
adalah perkahwinan kedua buat Riza dan yang pertama buat Izreen.
Sejak dari awal, Izreen sudah tahu, pasti ada
tanggapan yang skeptikal apabila melihat keputusannya untuk membina hidup
dengan seorang duda.
Itu semua diketepikan Izreen kerana di matanya,
cuma dia sahaja yang tahu bagaimana mahu mengenali siapa sebenarnya Riza.
“Tidak dinafikan, saya mendapat tentangan
yang hebat sebelum ini apabila menjalinkan hubungan dengan Riza. Bukan dari
keluarga, tapi dari orang sekeliling.
Ya, dia memang seorang duda. Tapi saya
menerima dia seadanya dan begitu juga penerimaannya terhadap saya.
Bagi saya, seburuk mana pun seseorang itu
pernah melakukan kesalahan, dia wajar diberikan peluang untuk berubah. Kita
bukan Tuhan atau malaikat.
Jadi kenapa kita perlu menghukum orang
sedangkan dia berniat mahu berubah ke arah kebaikan? Biarlah apa orang mahu
cakap sebab hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Bagi saya tidak ada isu sama ada kahwin kali
pertama atau kedua, kahwin duda atau bujang, asalkan dia boleh menjaga kita
dengan baik dalam susah mahupun senang, itu sudah memadai, ”
katanya.
Menurut Izreen, dia melihat kontroversi
hubungannya sebelum ini sebagai satu sisi positif yang mungkin tak dapat
dilihat oleh mata kasar.
Baginya, hikmahnya cukup besar kerana ia secara
tak langsung mematangkan dirinya. Selain itu, kontroversi itu juga membuatkan
dia lebih dekat dan mengenali Riza sepenuhnya.
Perkahwinan bukan satu perkara main-main kerana
sekali melangkah ke fasa tersebut, baik si suami dan si isteri, kedua-duanya
kemudian memegang amanah dan tanggungjawab.
Meskipun tahu, kehidupannya selepas bergelar
isteri selepas ini mungkin tidak akan sama seperti zaman bujangnya, namun dia telah
cukup bersedia.
“Bergelar seorang isteri memang banyak
tanggungjawabnya. Banyak juga cabarannya kalau nak dibandingkan dengan hidup
sendiri.
Tapi bila kita dah bersedia untuk mendirikan
rumahtangga, itu sekali gus memberi makna yang kita sedia untuk pikul
tanggungjawab.
Sebenarnya, bagi saya, nikmat berumahtangga
itu sangat indah bagi seorang wanita jika kita berada di landasan yang betul.
Apalagi
kalau kita dikurniakan cahaya mata. Mana-mana wanita akan berasa cukup sempurna
hidupnya apabila dia mempunyai zuriat dan keluarga yang bahagia,
ujarnya.
Satu yang perlu anda tahu mengenai Izreen, dia
adalah seorang wanita yang jarang sekali ke dapur.
Mengaku kurang pandai memasak, kata Izreen, dia
sedari awal sudah memberitahu pada tunangnya itu bahawa dia cukup lemah dalam
bab ini.
Pun begitu, sekurang-kurangnya Izreen berusaha
bagi menyediakan dirinya sebagai seorang isteri yang sempurna dengan belajar
memasak walaupun tidak seenak masakan chef ternama.
“Saya ni orangnya dahlah kasar. Tak berapa
nak feminin sangat. Sebab tu bila cakap pasal masak ni, saya memang lemah
sikit. Lagipun, bila sibuk dengan penggambaran, masa untuk ke dapur tu memang tidak
ada. Biasa makan di luar saja.
Tapi sekarang saya dah mula belajar
sikit-sikit. Masakan pertama yang saya buat adalah sardin, kari dan ayam masak
kicap.
Itu pun saya rasa macam tak berapa pandai.
Tapi yang bagusnya, Riza tak banyak kerenah dan tak merungut. Kalau masin ke
tawar ke, dia telan saja.
Lepas habis makan barulah dia tegur. Agaknya
nak jaga hatilah tu,” seloroh Izreen.
Dari pemerhatian Izreen, pada tahun ini,
merupakan tahun yang menyaksikan dia bersih daripada sebarang kontroversi.
Bersyukur di atas rahmat-Nya, Izreen memasang
azam untuk meneruskan kehidupannya selepas bergelar isteri kelak dengan lebih
baik.
Namun, itu tidak bermakna Izreen mahu melepaskan
karier lakonannya begitu sahaja. Baginya, bagi berbuat demikian adalah sesuatu
yang mustahil apalagi dia menganggap bidang lakonan umpama nyawanya.
“Saya akan terus berlakon macam dulu
walaupun sudah berkahwin. Riza mengizinkan sejak awal dan sudah memahami
kehendak saya.
Cuma, saya harap, dengan perkahwinan ini,
tidak akan ada lagi kontroversi membabitkan diri saya.
Saya akui, selama dihinggap pelbagai isu
sebelum ini, fikiran saya terganggu dan saya tertekan. Sekarang saya cuma mahu
hidup tenang. Tuhan telah memberikan Riza untuk hadir menemani saya sepanjang
hidup.
Alhamdulillah, saya rasa selamat dengannya.
Bila disatukan nanti, insya-Allah, saya akan jadi isteri yang baik dan taat
padanya. Bagi saya, Riza adalah lelaki terbaik dan doakanlah agar kami bahagia
hingga ke akhirnya,” katanya.
Bukan bermaksud untuk mengungkit cerita lama
mahupun mendabik dada kerana dirinya kini sudah bersedia bagi melangkah ke alam
rumah tangga.
Bukan itu maksud Izreen, walau satu ketika
dahulu, dia dan pelakon Johan Asari pernah bercinta.
Kemudian, cerita cinta mereka juga diiringi
dengan kontroversi yang tak berkesudahan kerana Johan ketika itu, enggan
mengaku dia dan Izreen sedang menjalin hubungan cinta.
Banyak tohmahan dilemparkan pada Izreen yang
ketika itu mungkin naif dan masih hijau dengan perkara-perkara seperti ini.
Itu semua cerita lapuk. Masing-masing juga sudah
membuka lembaran baru.
Namun, atas dasar seorang kenalan lama, Izreen
tampil memberi secebis nasihat buat teman lamanya itu.
“Apa yang
terjadi antara kami sebelum ini, adalah satu hikmah dan dah jadi sejarah silam.
Saya tak mahu bermusuhan dengan dia.
Saya
doakan agar dia menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelum ini. Nak cakap
lebih pun tak boleh sebab saya dengan dia dah tak ada apa-apa.
Tak
apalah, kita semua doakan sajalah apa yang terbaik untuk dia,” katanya.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar