Pelakon Nor Albaniah yang popular pada era 90-an pernah dianggap sebagai pendatang baru oleh seorang produser filem terkenal tanah air disebabkan wajahnya yang kelihatan awet muda.
Pemilik nama sebenar Nor Albaniah Raffie, 43, ini berkata, dia diminta oleh penerbit berkenaan menghantar profil dirinya bagi tawaran berlakon.
“Kejadian itu berlaku pada tahun lalu. Produser tersebut meminta saya hantarkan profil diri kerana menyangka saya pendatang baru hanya kerana wajah saya tidak makan usia.
“Pada mulanya saya sangka dia bergurau dan berpura-pura tidak kenal. Rupanya memang dia tidak kenal, jadi saya layankan sahaja,” katanya ketika.
Pelakon yang telah 17 tahun bergelar ibu tunggal ini berkata, dia tidak mengamalkan sebarang petua mahupun suntikan dalam mengekalkan keanjalan dan seri pada wajahnya.
“Saya tidak pernah buat apa-apa suntikan atau makan ubat tertentu. Mungkin saya bernasib baik kerana dikurniakan wajah yang tidak mudah dimakan usia.
“Namun, kalau diperhatikan pada bahagian bawah mata saya agak teruk juga kerana kekurangan rehat tetapi saya tidak kisah. Biarlah ia nampak semula jadi seiring dengan usia,” katanya.
Di tanya mengenai perkembangan seni, Nor Albaniah yang aktif berlakon semula sejak tiga tahun lalu berkata, dia berpuas hati dengan tawaran lakonan yang diterimanya walaupun ia tidak konsisten kerana banyak pihak masih belum menyedari kemunculan semulanya dalam industri.
“Kalau diikutkan saya sudah aktif berlakon sejak dua hingga tiga tahun lepas cuma kebanyakan drama lakonan saya belum keluar. Mungkin sebab itu, masih ramai produser atau pengarah tidak sedar saya kembali berlakon.
“Tapi saya tidak perlu terburu-buru untuk mencari tawaran kerana saya percaya jika ada rezeki sudah ditetapkan ia pasti datang,” katanya yang baru menamatkan penggambaran drama Dua Wajah pada minggu lalu.
Pelakon yang telah mencipta nama menerusi filem Adik pada 1990 ini bakal menyambut Hari Raya di rumah keluarga abang dan kakaknya di Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar