Rompak Empat Premis Kedai 24 jam

on 29 Agustus 2012


Dua lelaki bermotosikal nekad menyamun empat premis kedai serbaneka 24 jam di sekitar Bandar Kuantan dalam tempoh kurang sejam awal pagi, semalam.

Suspek yang dipercayai penduduk tempatan berusia dalam lingkungan 20-an telah bertindak melakukan samun ke atas pekerja dan juga premis kedai di Jalan Semambu kira-kira jam 5.50 pagi sebelum melakukan perbuatan sama ke atas sebuah lagi kedai 24 jam di Jalan Beserah di sini kira-kira 10 minit kemudian.


Seterusnya kira-kira jam 6.15 hingga 6.30 pagi hari yang sama, suspek yang bersenjatakan pisau itu turut menyamun dua lagi premis kedai 24 jam di kawasan Kubang Buaya dan Jalan Setali di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, tindakan nekad dua suspek itu tidak membuahkan hasil yang lumayan sebaliknya mereka nyaris dicekup selepas terserempak dengan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di persimpangan lampu Isyarat Jalan Beserah di sini kira-kira jam 6.50 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pengadu yang juga pekerja di keempat-empat premis terbabit, identiti suspek berjaya dicamkan berdasarkan jaket dan warna topi keledar dipakai selain motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z berwarna hitam yang digunakan.

“Berdasarkan maklumat tersebut, angota MPV dikerahkan menjalankan rondaan sebelum terserempak dengan suspek di persimpangan lampu isyarat tersebut.

“Suspek cuba melarikan diri dengan memecut motosikal ke arah Lorong Air Putih 54 bagaimanapun cubaan mereka terhalang akibat jalan mati,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Abdul Aziz berkata, pada masa yang sama, motosikal yang dinaiki suspek turut terjatuh memaksa mereka meninggalkan kenderaan itu bagi meloloskan diri.

“Dalam cubaan mereka melarikan diri itu, salah seorang suspek tertinggal sebuah beg pinggang manakala beberapa barangan termasuk coklat dan rokok dipercayai hasil curi bertaburan di atas jalan.

“Turut ditemui dua buah pisau dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian samun selain beberapa dokumen penting yang mendedahkan identiti sebenar suspek,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan dokumen yang ditemui, motosikal yang digunakan adalah milik salah seorang daripada mereka dan menggunakan nombor pendaftaran asal.

“Bagaimanapun hasil semakan rekod mendapati suspek yang berasal dari Balok dekat sini tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, walaupun suspek berjaya meloloskan diri, namun berdasarkan maklumat yang ada, identiti mereka sudah dikenal pasti.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ranking: 5

{ 0 Comments... read them below or add one }

Posting Komentar

 
© JOMKONGSISTORY.COM All Rights Reserved