Datuk Seri Idris Jala hari ini telah mengangkat sumpah sebagai Senator untuk penggal kedua pada satu majlis di Dewan Negara, di sini.
Upacara itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan disaksikan anggota dewan berkenaan.
Bercakap kepada pemberita setelah majlis itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membuktikan keberkesanan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
"Kejayaan GTP juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang bagus di mana pelaburan negara pada tahun lepas meningkat, pelaburan langsung asing (FDI) negara juga meningkat dengan kukuh dalam masa 10 tahun malah pendapatan negara turut meningkat kepada RM185 bilion," katanya.
Idris ,54, adalah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) iaitu organisasi yang bertanggungjawab dalam memantau pelaksanaan GTP.
Anak kelahiran Sarawak itu yang berkelulusan Sarjana Perhubungan Perindustrian dari Warwick University, United Kingdom, telah dilantik sebagai senator buat pertama kali pada 2009.
Sebelum dilantik ke dalam kerajaan, Idris merupakan tokoh korporat termasuk meneraju Malaysia Airlines selama 4 tahun dan pernah dipilih sebagai Tokoh Orient Aviation 2008 menerusi peranannya dalam syarikat penerbangan nasional itu.
Beliau juga pernah dianugerah 'Order Of The Star of The Italian Solidarity' dari kerajaan Itali pada 2009 atas sumbangan beliau dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Itali.
Sementara itu, Abu Zahar berkata pelantikan semula Idris sebagai Senator membuktikan bahawa kerajaan peka serta prihatin mengenai kewibawaan seseorang pemimpin yang dilihat mampu memimpin negara dengan baik.
Katanya kebolehan tersebut dapat membantu rakyat dan negara tanpa mengira agama, kaum serta keturunan.
Pada masa sama, Abu Zahar berharap Idris terus menjadi pemimpin yang mampu menjadi ikutan serta teladan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.
"Apabila dilantik oleh Dewan maka jangan lupa taat setia kepada negara dan berpeganglah kepada pepatah 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'," katanya.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar