Mahkamah Sesyen telah menetapkan 13 September depan bagi mendengar bantahan pendakwaan terhadap permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin merujuk 1 persoalan perundangan ke Mahkamah Tinggi berhubung 3 pertuduhan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.
Hakim Mahmud Abdullah menetapkan tarikh itu setelah Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamad memberitahu mahkamah bahawa pihaknya hanya dimaklumkan pagi ini mengenai permohonan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar dan memerlukan masa bagi menelitinya.
"Walaupun pihak pendakwaan sudah bersedia bagi mengemukakan bantahan awal berhubung 2 permohonan Anwar bagi membatalkan pertuduhan terhadapnya, tetapi perlu berhujah terlebih dulu di Mahkamah Sesyen mengenai permohonan ini (isu perundangan)," kata Abdul Wahab.
Beliau berkata, pembelaan juga perlu memberi penjelasan mengenai permohonan itu dan tindakan mereka memaklumkannya kepada pendakwaan pada saat-saat akhir kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hujahan yang ingin dikemukakan.
Mahkamah menetapkan hari ini bagi mendengar bantahan awal pendakwaan berhubung permohonan Anwar untuk menggugurkan ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya.
Dalam permohonan tersebut, Anwar berkata, Mahkamah Tinggi perlu memutuskan sama ada Seksyen 4(1)(c) dan 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ataupun tidak.
Anwar juga turut meminta semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguh sementara menunggu keputusan berhubung permohonan itu.
Terdahulu, Abdul Wahab memohon bagi menambah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dalam pertuduhan ketiga yang dihadapi Anwar, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali dan Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.
Mengikut pertuduhan itu, mereka didakwa bersama penyokong 'Gabungan Bersih dan Adil' lain yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, bersubahat dan menghasut Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim mengingkari perintah Mahkamah Majistret bertarikh 26 April lalu, yang melarang perhimpunan diadakan di kawasan Dataran Merdeka dari 28 April hingga 1 Mei.
Mengikut Seksyen 147, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Anwar, Mohamed Azmin dan Badrul Hisham didakwa mengambil bahagian dalam protes jalanan yang telah mencetuskan huru-hara di ibu negara pada 28 April.
Mereka adalah kumpulan pertama yang didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.
Bagi pertuduhan ke-2, mereka didakwa bersubahat dengan Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan kerana menghasut mereka membuka sekatan besi di Jalan Raja pada hari yang sama, mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 6 bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Karpal Singh memaklumkan peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden tidak lagi menjadi peguam Anwar dan hanya mewakili Badrul Hisham.
Peguam Datuk CV Prabhakaran yang mewakili Mohamed Azmin pula memberitahu mahkamah beliau akan mengemukakan 1 permohonan berasingan di Mahkamah Tinggi berhubung isu perundangan yang dibangkitkan Karpal Singh.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar