Setelah KRU Studios menghasilkan filem Melayu pertama yang bakal ditayangkan dalam 
format tiga dimensi (3D) iaitu “29 Februari” yang akan mula ditayangkan 
pada 30 Ogos ini. KRU Studios akan terus menghasilkan filem 
berformat 3D untuk filem terbaru terbitan KRU, “Cicak-Man 3” yang akan 
memulakan penggambaran pada Oktober ini.
Menurut Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, filem 
“Cicak-Man 3” ini tidak akan dirakam menggunakan kamera dua lensa 
seperti yang dilakukan pada filem “29 Februari”, sebaliknya hanya akan 
menggunakan satu lensa, dan pengalihan ke bentuk 3D hanya akan dilakukan
 ketika proses pasca produksinya.
“Dengan cara itu, kos penggambaran dapat dijimatkan, walaupun 
perbelanjaan ketika proses pasca produksi dijangka lebih tinggi,” kata 
Norman kepada Berita Harian.
Tambahnya, filem “Cicak-Man 3” ini bakal memperlihatkan perubahan besar 
pada barisan pelakon, namun Norman enggan mendedahkan pelakon 
yang bakal membintangi filem adiwira itu.
Yusry akan kembali mengarah filem ketiga “Cicak-Man”, dimana ia 
merupakan filem kelima arahannya selepas “Cicak-Man”, “Cicak-Man 2”, 
“Hikayat Merong Mahawangsa” dan “Vikingdom”.
Sementara itu, Norman memberitahu, mereka akan menggunakan kepakaran luar bagi arahan aksi.
“Rekaan aksi kita belum mencapai tahap antarabangsa. Jadi kami gunakan 
dulu pelakon lagak ngeri utama dari luar. Dengan cara ini, kita dapat 
belajar daripada kepakaran luar ini,” kata Norman yang sebelum ini 
pernah menggunakan pakar lagak ngeri luar negara untuk filem “My Spy”, 
“Merong Mahawangsa”, dan “Vikingdom”.  
Rating: 4.5

