Tampilkan postingan dengan label Geoffrey Perrin Williams. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Geoffrey Perrin Williams. Tampilkan semua postingan

Geofrey Peluk Islam Bukan Kerana Ikut Kekasih

on 04 Desember 2011



PETALING JAYA: Pelakon baru berketurunan Australia, Geofrey Perrin Williams atau nama Islamnya Jufri Rayyan Williams, 27, berasa lebih bertanggungjawab selepas memeluk Islam pada bulan lepas.

Dia pernah muncul dalam beberapa buah drama tempatan seperti Habil dan Qabil, Cikgu Kemisah Kirby, Jangan Bunuh Matahariku, Jodoh Oh Jodoh, Durja Ningsun, Ar Rayyan dan Lilin Cinta.

Menurut pelakon yang selesa menggunakan nama Islamnya, Rayyan, tanggungjawabnya lebih besar memandangkan banyak perkara yang perlu diambil berat agar semua perkara yang dilakukan diterima oleh Allah.

“Saya sudah buka pintu yang tak pernah buka sebelum ini. Sebaik saya melangkah sekaki ke depan, saya rasa seperti sudah masuk ke dunia baru.

“Saya bersyukur kerana mendapat hidayah untuk memeluk Islam dan merasa tenang walaupun tanggungjawab saya menjadi lebih besar selepas ini.

“Saya bimbang jika ada yang akan gelakkan saya kerana saya masih kekok untuk membaca al-Quran melainkan hanya tahu mengucap dua kalimah syahadan dan membaca Al-Fatihah,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun dia tidak malu untuk mendapat tunjuk ajar daripada abangnya, Nordin Abdullah yang telah lama memeluk Islam pada tahun 1992 dan bapa kepada kekasihnya, pramugari Air Asia X, Juiza.

“Saya masih belajar untuk solat melalui abang dan ayah kekasih saya. Selain itu, saya ada merujuk buku-buku agama seperti buku panduan solat untuk mualaf yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Setiap bulan, saya perlu melapor di Jawi untuk menilai sejauh mana progresif saya mendalami Islam,” katanya.


Jelas Rayyan, banyak perkara yang membuatkan dirinya nekad memeluk Islam.
“Saya memeluk Islam kerana banyak sebab. Pertama, saya menjadikan abang saya, Nordin yang telah lama memeluk Islam sebagai contoh. Walaupun saya mempunyai kekasih berketurunan Melayu dan beragama Islam, tetapi saya memeluk Islam bukan kerana dia.

“Setiap kali berlakon, saya selalu melakonkan watak mualaf dan semua itu membuatkan saya perlu membuat kajian untuk menghayati watak itu dan menimbulkan rasa ingin tahu tentang Islam.

“Selain itu, saya mempunyai beberapa orang kawan iaitu Shahirah Alaiza yang menjadi kawan di pejabat lama dulu dan pelakon Adzriefaiz Azlan yang banyak berkongsi pengetahuan tentang Islam seperti kelebihan dan pantang larang orang Islam. Jadi, semua itu membuka mata saya,” jelasnya panjang lebar.

Mengenai reaksi keluarga setelah dia memeluk Islam, Rayyan agak bertuah kerana mempunyai ahli keluarga terutama ibu dan bapa yang memahami dan memberi sokongan kepada keputusannya itu.

“Ibu saya bertanyakan kepada saya sama ada saya akan berkahwin dengan kekasih saya dalam masa terdekat ini. Tetapi saya tak nak komen apa-apa lagi walaupun kami serius berkawan sejak lebih setahun lalu.

“Bagaimanapun, abang saya, Nordin dan kedua ibu bapa saya sangat gembira apabila saya memaklumkan berita ini,” ujarnya lagi.


Rayyan melafaz dua khalimah syahadah di sebuah masjid di Kampung Jijan berdekatan Sepang seminggu sebelum mendaftar dan sekali lagi melafaz dua kalimah syahadah di pejabat Jawi pada 30 November lalu.

Menyentuh tentang karier seni, Rayyan masih aktif berlakon seperti biasa dan baru selesai menjalani penggambaran drama Tok Ayah dan Jangan Bunuh Matahariku musim kedua serta muncul dalam filem Azura dan filem Hong Kong, Viral Factor.

Selain itu, dia akan menjalani penggambaran sekuel drama Cikgu Kemisah Kirby pada Isnin ini dan selepas itu mendapat tawaran untuk berlakon sebuah telefilem.


Wassalam~

Sumber: mStar Online
 
© JOMKONGSISTORY.COM All Rights Reserved