|
Adira Tolak Dakwaan Dirinya LESBIAN |
PETALING JAYA: Penyanyi
Adira (AF8) memohon agar masyarakat
tidak memandang serong kepadanya susulan dakwaan terbaru yang mengatakan
dia kembali menjalin hubungan songsang selepas putus cinta dengan
penyanyi
Hafiz (AF7), beberapa bulan lalu.
Adira atau nama sebenarnya
Siti Adira Suhaimi, 22, berkata selepas
apa yang dilaluinya pada tahun lalu, dia tidak mahu lagi mengenangkan
semula dakwaan liar yang pernah dilemparkan sebelum ini.
“Gosip yang melampau itu adalah perkara lama dan saya tidak mahu mengingatinya semula. Ia sudah selesai.
“Saya tidak sangka pula dakwaan kononnya saya mengamalkan hubungan
songsang itu kembali diperkatakan hingga timbul spekulasi bahawa ia
menjadi punca hubungan saya dan
Hafiz berkecai,” katanya.
Adira berkata kemunculan tahun 2012 ini mahu dimanfaatkannya untuk
memantapkan lagi kerjaya seni dan bukan terus dihantui dengan gosip dan
kontroversi yang menjejaskan reputasi.
“Sejujurnya, saya sangat sedih dan terkejut apabila gosip itu
diperkatakan semula. Saya sangka apabila muncul tahun baru ini, perkara
hitam itu sudah berakhir, malangnya ia terus menjadi bualan.
“Saya tidak pernah mengganggu atau menyusahkan hidup orang lain. Saya
memohon agar cerita-cerita negatif ini dihentikan kerana ia mencemarkan
reputasi saya dan keluarga,” katanya.
Ditanya mengenai reaksinya berkenaan dakwaan kononnya dia kembali
menjalin hubungan songsang dengan individu yang dikenali sebagai Zack,
Adira menegaskan dia masih lagi seorang perempuan sejati.
“Gosip ini sangat memalukan tetapi sebagai hak milik masyarakat saya perlu hadapinya.
"Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya masih lagi perempuan sejati yang mempunyai perasaan terhadap lelaki,” katanya.
Menyentuh perkembangan kerjaya, anak bongsu dalam keluarga ini berkata klip video lagu ‘single’ terbarunya berjudul
Sakura mula ditayangkan di Astro Ria pada malam Sabtu.
Selain sibuk memenuhi pelbagai undangan nyanyian, Adira juga sedang
merakamkan lagu tema sebuah drama televisyen yang bakal ditayangkan pada
pertengahan tahun ini.