AMANAT TERAKHIR KETUA PEMBANGKANG, DATUK SERI ANUAR IBRAHIM SEBELUM DIBICARAKAN | KES LIWAT BEKAS PEMBANTUNYA SAIFUL BUKHARI AZLAN | PERBICARAAN MAHKAMAH
Assalamualaikum & salam sejahtera
|
Datuk Seri Anuar Ibrahim, DSAI |
Ribuan membanjiri Kampung Baru di ibu negara malam ini bagi mendengar
'amanat terakhir' Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum
nasibnya ditentukan mahkamah esok.
Ditemani pemimpin tertinggi
pembangkang, dianggarkan 5,000 memenuhi padang Kelab Sultan Sulaiman
bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar yang dituduh meliwat bekas
pembantunya Saiful Bukhari Azlan.
Malah, keadaan sesak
menyebabkan ada yang terpaksa duduk di anak tangga bangunan berkenaan
untuk tidak melepaskan peluang menatap wajah pemimpin kesayangan mereka
-- yang menghadapi kemungkinan dihukum penjara.
Jumlah kehadiran
yang besar didorong juga dengan kemasukan penyokong daripada luar yang
mula memenuhi Kuala Lumpur sejak awal petang tadi untuk menghadiri
perhimpunan besar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 7 pagi esok.
Sokongan
itu menyebabkan Anwar yang juga ketua Umum PKR memberikan ucapan penuh
semangat, sekali gus dilihat pasrah akan kemungkinan yang bakal
dihadapinya esok.
Sambil berseloroh, Anwar berkata, sekiranya
Pakatan menang dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk
kerajaan, beliau yakin akan dibebaskan.
"Malam ini kita menang, selamatlah saya, apa susah sangat," katanya disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada orang ramai.
Pada
saat-saat terakhir menjelang keputusan yang dinanti-nantikan esok,
Anwar mendedahkan anggota keluarganya meluahkan kebimbangan beliau
dipukul seperti dalam perbicaraan kes liwat pertama yang melibatkannya
sebelum ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau menjawab perkara tersebut "tidak mungkin berlaku" lagi.
Ucapannya juga turut diiringi dengan ucapan takbir, reformasi dan lawan slogan popular pembangkang "lawan tetap lawan".
Turut
hadir berceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR
Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md
Akin dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.
Anwar dan puluhan
pemimpin PKR sebelum ini giat menjelajah ke seluruh negara bagi
menggerakkan sokongan terhadap perhimpunan "Bebas Anwar 901" esok.
Wassalam~
Sumber: Malaysiakini