KUALA LUMPUR: Pelakon, Hans Isaac berasa terkilan apabila ada pihak cuba mensabotaj
konsert Awie dan Ella,
Raja dan Ratu Malaysia
anjurannya di bawah produksi Tall Order Productions (TOP) dengan
menempah jumlah tiket yang banyak, tetapi tidak membuat tuntutan
sehingga menyebabkan kerugian.
Hans berkata, pihaknya mengesan terdapat individu sengaja menempah
sebanyak 100 hingga 200 tiket konsert agar orang luar akan menganggap
tiket sudah habis dijual.
"Setakat ini kami cuba mengesan siapa yang berbuat demikian. Ini
kerana sebelum ini, terdapat projek terbitan kami juga disabotaj.
"Apabila keadaan sebegini berlaku, ia akan mengganggu penjualan tiket kerana orang ramai akan ingat tiket dah 'sold out'.
"Buat masa ini, saya tidak mahu menuduh sesiapa lagi kerana ia masih
di dalam siasatan dan saya pun tak boleh nak pastikan siapa yang sanggup
berbuat begitu," katanya yang ditemui selepas konsert tersebut di
Istana Budaya, di sini, Khamis.
Tambah Hans, dia berharap, orang ramai tidak menganggap tiket konsert
tersebut sudah habis dijual sebaliknya memberi jaminan, penonton tidak
akan berasa rugi dengan nyanyian hebat Awie dan Ella.
Bagaimanapun, mengenai konsert tersebut, Hans berpuas hati dengan
respons penonton yang begitu seronok dan berpuas hati dengan persembahan
dua penyanyi rock itu.
"Nampaknya, percaturan saya menggandingkan Awie dan Ella dalam sebuah
konsert ternyata berhasil. Masing-masing mempunyai kekuatan sendiri,"
katanya.
Konsert
Raja dan Ratu Malaysia yang diadakan selama empat hari
itu bermula pada 12 Januari 2012. Dalam konsert itu sebanyak enam
persembahan akan diadakan oleh mereka.
Sementara itu, konsert dimulakan dengan nyanyian duet lagu
Baldu Biru diikuti dengan persembahan bergilir oleh kedua penyanyi berkenaan yang antaranya ialah
1570, Teruja, Funky Monyet, Ala Amerika, dan Dua Insan.
Bukan sahaja persembahan Awie dan Ella yang menarik perhatian ramai,
bahkan pentas yang berkonsepkan 'ala futuristik' turut membuatkan
penonton terpesona dengan rekaannya yang sederhana tetapi menarik.
Pentas dewan Panggung Sari terus berubah menjadi pentas rock apabila
masing-masing lincah beraksi lebih-lebih lagi dengan persembahan gaya
manja Ella dan lawak spontan Awie, membuatkan kedua-dua mereka nampak
bersahaja.
Ternyata para penonton begitu terhibur dengan persembahan mereka
sehinggakan ada yang berdiri dan menari di tepi tempat duduk mereka.
Selain itu, antara lagu-lagu hit yang dibawakan sepanjang dua jam konsert berlangsung ialah
Seribu
Tahun, Malam Ini, Menyanyi Lalala, Tingal Satu Peluru, Layar Impian,
Tragedi Oktober, Permata Biru dan Bernafas Dalam Lumpur.
Pemuzik, Edrie Hashim mengetuai persembahan pada malam itu di samping
Ujang Exists (drum), Ujang (gitar), Fly (bass), Amir Feerza
(percussion), Kudin dan Jason Voo (keyboard).
Tiket untuk
Raja dan Ratu Rock Malaysia telah pun mula dijual
pada 14 Disember dengan harga dari RM40 hingga RM450 dan tempahan tiket
boleh dibuat melalui
www.TICKET2U.BIZ atau boleh menghubungi 03-4147
8600.