SHAH ALAM: Pelakon dan pelawak, Husni Rawi, 39 atau nama gelarannya Bob (Kuman) kini ditahan di Hospital Tawakal Kuala Lumpur selepas terjatuh dalam bilik air di kediamannya di Kota Damansara pada Jumaat.
Menurut
ahli kumpulan Bawal Power (BP), Mohd Sobri Anuar Mohd Tarmizi atau
lebih dikenali sebagai Sobri, Bob terjatuh semasa sedang mandi untuk
bersiap-siap untuk mengadakan persembahan di pertandingan Maharaja Lawak
Mega (MLM) pada malam Jumaat.
"Semasa
jatuh bahagian muka Bob telah terkena pada mangkuk tandas dan telah
menyebabkan mukanya cedera akibat hentakan kuat," ujarnya ketika ditemui
selepas konsert MLM di sini.
Ujarnya, Bob telah dikejarkan ke Hospital Tawakal dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibantu oleh ahli keluarga terdekatnya.
"Selepas
Bob sedar dia menghubungi saya memberitahu mengenai keadaannya kepada
saya dan memaklumkan tidak dapat menghadiri persembahan pada malam ini
(Jumaat) kerana kecederaan dialami agak serius," katanya.
Sobri memberitahu, Bob dilaporkan menerima beberapa jahitan dimukanya akibat hentakan kuat pada mangkuk tandas berkenaan.
Ekoran kejadian tersebut, Sobri tampil bersendirian ketika menyertai konsert minggu ke empat MLM.
"Saya
perlu teruskan atas nasihat Bob sendiri dan beberapa rakan-rakan lain
seperti Raja Azmi, Mamat Khalid, Afdlin Shauki dan AC Mizal.
"Berdirinya saya pada malam ini tanpa Bob adalah untuknya dan perjuangan kami dalam pertandingan tersebut," katanya.
Pada
konsert MLM minggu ke empat, Jalil Hamid telah disingkirkan dengan
peratusan paling rendah iaitu 46 peratus manakala persembahan solo Sobri
untuk kumpulannya BP telah melayakkan menduduki tempat ke empat dengan
62 peratus.
"Saya
harap minggu depan Bob dapat kembali bersama saya di pentas MLM tetapi
walauapapun saya mahu dia berehat dengan secukupnya," ujarnya.
- mStar