Minyak tiruan atau minyak kitar semula berleluasa di Malaysia
Assalamualaikum & salam sejahtera
Minyak masak tiruan/ kitar semula |
TANJUNG IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa pengguna supaya lebih berhati-hati ketika
membeli produk supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
Pegawai KPDNKK Kuala Pilah, Zulkifli Mat, berkata, pengguna perlu bijak memilih barang termasuklah minyak masak kerana pihaknya mengenal pasti terdapat minyak kitar semula yang dijual di pasaran.
“Isu minyak masak kitar semula ini berlaku di Selangor, namun sebelum
ia menular di daerah ini, saya nasihatkan pengguna supaya peka dengan
pembelian produk berkenaan.
“Minyak masak kitar semula ini mengandungi hanya 20 peratus kandungan
minyak asli, manakala 80 peratus dicampur dengan minyak yang telah
digunakan yang diperoleh daripada restoran dan hotel,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa taklimat kepenggunaan anjuran Lembaga
Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Kuala Pilah di Balai
Muhibbah, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga LKPIM Kuala Pilah, Rosnah Mohd Said.
Sementara itu, beliau turut menerangkan perbezaan antara minyak masak
kitar semula dengan yang asli sekali gus menggesa pengguna supaya lebih
bijak menilai.
“Kita hanya perlu lihat label daripada kilang mana ia diproses selain
logo halal. Jika tiada alamat kilang dan logo tersebut, minyak itu
adalah tiruan dan pengguna perlu melaporkan kepada kami.
“Bahayanya minyak masak kitar semula ialah dari segi kebersihan yang
tidak terjamin. Tambahan pula, sebagai orang Islam, kesucian itu diberi
keutamaan terutama dalam masakan,” katanya.
Dalam pada itu, taklimat yang diadakan adalah bagi memberi kesedaran
berkaitan hak-hak pengguna dengan melaporkan kepada KPDNKK sekiranya
terdapat produk yang mencurigakan termasuk peraduan gores dan menang,
barangan tiruan, tamat tempoh dan lain-lain.
Dalam pada itu, katanya, taklimat yang dilaksanakan ini bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna tentang hak-hak mereka.
“Saya juga minta pengguna di luar bandar agar lebih bijak menggunakan
kuasa beli mereka supaya peniaga tidak menekan harga barangan sesuka
hati,” katanya
Sumber : Sinarharian