AWAS ! TAKTIK SINDIKET PELACURAN | MENJUAL RAKAN SENDIRI UNTUK DIJADIKAN PELACUR | REMAJA BELASAN TAHUN JADI MANGSA SINDIKET
Assalamualaikum & salam sejahtera
|
AWAS! SINDIKET PELACURAN |
KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menempuh
detik hitam dalam hidupnya apabila dia bukan saja ‘dijual’ rakan
baiknya, malah dipaksa melacur sejak empat bulan lalu.
Jika mangsa enggan melakukan perbuatan keji itu, dia akan dipukul
ibu ayam berusia awal 40-an selain dikurung dan tidak diberi makan serta
minum.
Mangsa yang tidak tahan menanggung derita seksaan
itu terpaksa akur arahan sindiket pelacuran terbabit selain menanti
peluang melarikan diri.
Remaja itu mendakwa dia dibawa ke hotel di seluruh negara mengikut
permintaan pelanggan selain dibayar RM200 hingga RM500 mengikut
perkhidmatan diberikannya. Selain hotel di ibu kota, mangsa pernah
dibawa ke hotel di Pulau Pinang, Genting Highlands dan Johor, oleh
sindiket pelacuran yang mengawasi setiap pergerakannya.
Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri daripada sindiket pelacuran
itu pada jam 7 pagi, 8 Januari lalu, sebelum membuat laporan di Balai
Polis Sentul, di sini, Rabu lalu.
Menceritakan semula
kejadian berkenaan, sumber polis berkata, mangsa yang berasal dari
Melaka meninggalkan rumahnya pada jam 8 malam, 18 Ogos tahun lalu,
selepas diperdaya rakan perempuannya untuk ke ibu kota.
“Rakan baik mangsa yang berusia 20-an menawarkan pekerjaan kepada mangsa selain berjanji mengahwinkannya.
“Lelaki yang dijanjikan untuk dikahwinkan dengan mangsa dikenali
mangsa kerana mereka pernah berjumpa pada majlis kenduri di Ayer Keroh,
Melaka, Ogos tahun lalu,” katanya. Menurutnya, mangsa kemudian dibawa
menaiki sebuah Proton Wira bersama lima wanita lain yang tidak
dikenali.
“Mangsa dan beberapa wanita itu dihantar ke sebuah flet di
Damansara Damai. Tiga hari kemudian, mangsa dibawa ke sebuah hotel di
Jalan Ipoh sebelum diarahkan melacur.
“Tersentak dengan itu,
mangsa berkeras dan cuba melawan menyebabkan dia dipukul seorang wanita
dipercayai ibu ayam. Dia juga tidak diberi makanan mahupun minuman,”
katanya.
Sumber itu berkata, difahamkan, selepas dua kali
cubaan melarikan diri gagal, remaja terbabit mencuba sekali lagi pada 8
Januari lalu dan berjaya.
Katanya, mangsa membuat laporan polis mengenai nasib itu dan difahamkan, dia kini berlindung di rumah keluarganya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku
Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan tiga lelaki ditahan bagi membantu
siasatan membabitkan kes berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.
Wassalam~
Derma [LIKE] Anda!
Sumber: Bharian