Tampilkan postingan dengan label selamat tahun baru 2012. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label selamat tahun baru 2012. Tampilkan semua postingan

Tips Penting Berazam Baru 2012

on 01 Januari 2012

Tips Terpenting Untuk Berazam Di Tahun Baru 2012

Assalamualaikum & salam sejahtera

Azam Tahun Baru 2012

Tahun 2011 baru menutup tirainya, tahun 2012 pula menjelang tiba. Sudahkah anda menetapkan azam baru anda? Atau anda tidak pernah berazam di setiap tahun baru? Berazamlah sekarang kerana azam itu akan menentukan hala tuju anda di tahun yang baru ini. Tidak kira azam itu untuk diri sendiri, keluarga, ibubapa, harta, kerjaya, kekayaan, ibadah dan sebaginya. Namun begitu, kalau kita berazam sekalipun tetapi tidak dapat melaksanakannya dengan betul, azam itu hanya tinggal impian dongeng sahaja. Oleh itu cara menetapkan azam dan melaksanakannya itu adalah penting.

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda tentang perkara terpenting sebelum anda menetapkan azam tahun baru supaya azam anda itu relevan dan boleh anda capai. Sebelum anda menetapkan azam tahun baru, tanyalah 5 soalan ini pada diri anda sendiri. 5 soalan ini akan membuatkan anda tidak rasa takut, yakin diri dan tetap bersederhana dalam mengejar azam anda. % soalan ini juga akan membuat anda lebih fokus dalam merealisasikan azam dan impian anda.

Impian tahun baru 2012

Berikut merupakan 5 soalan yang boleh diajukan pada diri sendiri sebelum berazam:

1. Apakah perkara terpenting dalam hidup anda?
Pertanyaan ini akan membuatkan anda berasa lebih yakin dengan persoalan apa dan siapa matlamat anda berjuang mencapai impian. Dengan itu, anda merasa lebih tabah dan bersedia menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Anda akan gigih mencapai impian dan juga mempertahankan, melindungi, menyayangi sesuatu yang terpenting dalam hidup Anda.

Kembali kepada persoalan, apa sebenarnya yang paling  penting dalam hidup Anda? Nama baik, keluarga, ibu bapa, pasangan, anak-anak, kerjaya, harta? Tentu banyak perkara yang penting dalam hidup Anda, oleh itu senaraikan mengikut tahap kepentingan. Tulislah tiga hal terpenting dalam hidup Anda. Jangan ragu-ragu menulisnya, kerana yakinlah, setiap orang sudah pasti mempunyai jawapan berbeza kerana matlamatnya tidak sama. Namun, Anda harus menjawapnya, apa yang terpenting dan paling utama dalam kehidupan Anda?

2. Apa sebenarnya yang Anda inginkan?

Pertanyaan ini membantu Anda untuk mencapai keinginan, harapan, dan tujuan Anda sebenarnya. Fahami sepenuhnya impian Anda agar lebih mudah bagi Anda untuk ke peringkat berikutnya. Bermulalah membuat senarai mengenai apa yang paling Anda inginkan, dan manfaat yang ingin Anda dapatkan. Jangan takut menuliskannya, meskipun senarai tersebut terlalu banyak. Tulislah mengikut tahap kepentingan agar Anda boleh fokus dalam mencapai setiap satu keinginan itu. Siapkan diri Anda untuk merenungkan apa yang sebenarnya yang Anda inginkan, fahami, tulis, lalu bertindaklah!

3. Manfaat apa yang akan Anda dapatkan?

Anda bukanlah sekadar membuat senarai keinginan atau siapa dan apa yang paling penting dalam hidup. Namun begitu Anda juga perlu tahu semua manfaat hasil dari apa yang anda senaraikan tadi. Dengan itu, Anda terdorong untuk lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri, yakin untuk mengambil keputusan yang besar, dan percaya diri dalam melakukan setiap langkah dalam hidup Anda. Anda akan menjadikan pribadi anda lebih cergas dan bijaksana.

4. Potensi apa yang Anda miliki?

Dengan mengetahui setiap manfaat yang akan anda peroleh dari setiap kemahuan anda, maka anda akan lebih mudah mengenal pasti potensi diri. Potensi Anda adalah kekuatan dari dalam diri yang dapat dimanfaatkan lebih berkesan. Dengan memiliki kemahuan, tidak sukar bagi Anda untuk merealisasikan semua azam yang sudah Anda susun. Semua hal ini saling berkait. Jadi kenal pasti apa kelebihan Anda.

Bagaimana mengenali potensi diri? Caranya, amati apakah reaksi pertama Anda semasa membayangkan empat hal ini:
* Sesuatu yang membuat Anda bersemangat melakukannya.
* Sesuatu yang Anda kerjakan atau yang Anda capai dengan jayanya.
* sesuatu yang Anda kerjakan dengan senang hati.
* sesuatu yang Anda suka.

Oleh itu, potensi apa yang Anda miliki? Jangan ragu-ragu untuk menerokainya!

5. Apa tindakan Anda?

Jangan terperangkap dengan masalah yang selalu terjadi pada kebanyakan orang. Ramai yang tahu apakah tindakan yang harus dilakukannya, tetapi tidak ramai diantara mereka yang benar-benar melakukannya. Apa tindakan Anda? Dengan menjawabnya persoalan tersebut, Anda akan bertindak proaktif sekaligus bersungguh-sungguh dalam bertindak serta konsisten.

Jawapan bagi setiap pertanyaan di atas menjadi panduan utama untuk menyusun apa pun resolusi Anda. Jawapan terhadap lima pertanyaan tadi menjadi acuan bagaimana Anda melaksanakan azam setahun anda dengan lebih yakin, berani namun tetap rendah hati.


Wassalam~

Hukum Menyambut Tahun Baru 2012

on 31 Desember 2011

Penjelasan tentang hukum menyambut tahun baru masehi bersama Ustaz Zaharuddin

Assalamualaikum & salam sejahtera

Tahun Baru 2012

Tahun baru bagi kalendar Islam sudahpun berlalu tetapi bagi kalendar moden yang mengikut perkiraan bulan masehi tarikh 31 Disember merupakan hari terakhir bagi tempoh setahun. Selepas tarikh tersebut maka perkiraan hari dan bulan akan bermula semula seperti kitaran awal iaitu 1 Januari. Seperti kebiasaannya, pada tarikh inilah akan diadakan sambutan tahun baru bagi sebilangan besar penduduk dunia. Namun begitu, ada golongan yang mengatakan bahawa umat Islam dilarang menyambut tahun baru tersebut kerana ianya bersangkut paut dengan perayaan agama lain. Untuk menjawab persoalan tersebut di sini saya sertakan petikan artikel yang dikeluarkan oleh Ustaz Zaharuddin melalui blognya. Moga dengan penerangan yang diberikan oleh Ustaz Zaharuddin ini akan dapat mengelakkan kekeliruan tentang sambutan tahun baru masehi.

***

Soalan 
Saya pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam menyambut perayaan Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam perkara ini?

Jawapan 
Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.  


Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya. 


Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat. 


Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-


* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.
Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah"
Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219). 


Terdapat satu keadah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"
Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65) 


* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu,  sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga. Namun ia tidak semestinya menjadikan seluruh sambutan menjadi haram jika percampuran itu tidak menjadi satu agenda penganjur, tatkala itu, mereka yang bercampur atas kehendak sendiri melakukan dosa secara individu dan ia dari jenis 'haram lighairihi' atau haram yang datang akibat dari sebab-sebab luaran.


* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.


Wassalam~
 
© JOMKONGSISTORY.COM All Rights Reserved