Seorang
anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar parah selepas ditikam
bekas suami kepada wanita yang dinikahinya di Pekan Siam, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa Koperal Tajuddin Abdullah, 55,parah di badan akibat ditikam seorang lelaki selepas majlis akad nikahnya dengan
wanita berkenaan selesai dijalankan.
Akibat dari tikaman itu, mangsa yang baru beberapa bulan
bertugas di Unit Peronda IPD Kangar dikejarkan ke klinik pekan sempadan itu,
namun terpaksa dirujuk ke Hospital Hatyai, Thailand apabila keadaannya semakin
parah.
Sumber polis Thailand berkata, mangsa ditikam di Pekan
Siam oleh seorang lelaki, dipercayai bekas suami wanita yang dinikahinya.
“Pihak
berkuasa Thailand di Pekan Padang Besar mengenal pasti suspek dan gerakan
memburu sedang dilakukan.
“Kita
belum mengenal pasti sama ada wanita berkenaan orang tempatan (Thailand) atau
luar,” katanya di sini, semalam.
Sementara
itu, Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Harun ketika
dihubungi bagi mengesahkan seorang anggotanya ditikam di selatan Thailand.
“Saya
mengarahkan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros dan
Timbalan Ketua IPD Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa ke Hatyai untuk
mendapat laporan lengkap mengenai kejadian tersebut.
Beliau
bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa memasuki negara jiran itu
untuk berkahwin.
“Saya
dimaklumkan, bahawa anggota kami parah ditikam seorang lelaki di Pekan Siam,
tetapi maklumat lengkap belum diperoleh sepenuhnya. Anggota berkenaan bertugas
di Unit MPV Kangar.
“Anggota
berkenaan memasuki pekan sempadan atas urusan peribadi dan bukan pada waktu
bertugas. Kami tidak tahu dia menyeberangi sempadan atas urusan pernikahan.
“Kami
sedang menunggu laporan daripada dua pegawai (Che Man dan Ismail) yang
diarahkan ke Hatyai,” katanya.
Sementara
itu, Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan ketika dihubungi
mengesahkan, anggota polis berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)
Hospital Nagarind, Hatyai dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Mangsa
masih tidak sedarkan diri akibat beberapa tikaman di badan,” katanya.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar