Seorang kanak-kanak
lelaki,dipercayai Mohd Shafiq Afandi Ramlee, 5, putus dua jari tangan kiri
(jari tengah dan jari manis) akibat terkena letupan mercun bola ketika bermain
bersama kakak dan rakannya di Kampung Kolam Emas dekat sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pada
jam 9.30 pagi di hadapan sebuah rumah jiran yang hanya terletak 30 meter dari
rumahnya, apabila mercun bola yang dipegang mangsa meletup sebaik sumbu dicucuh
seorang rakannya.
Kakak mangsa, Nor Ayuni, 16,
berkata sebelum kejadian tersebut adiknya itu keluar bersama seorang lagi
kakaknya, Nor Atirah, 9, pergi ke rumah jiran untuk bermain mercun yang
dipercayai dibeli dari kedai tidak jauh dari situ.
Katanya, hanya 15 minit mereka
berdua pergi terus terdengar bunyi letupan mercun dengan kuat dan selepas itu
bunyi tangisan suara adiknya.
“Saya yang rasa bimbang dengan
keselamatan mereka berdua cuba keluar ke tepi jalan dan ternampak seorang jiran
membawa pulang Mohd Shafiq Afandi dalam keadaan tangan kiri berbalut dengan
berlumuran darah,” katanya ketika di temui di rumahnya, hari ini.
Nor Ayuni berkata, kejadian itu
dimaklumkan kepada kedua ibu bapanya dan menyuruh beliau segera menghantar Mohd
Shafiq Afandi ke Hospital Gua Musang (HGM) bagi mendapat rawatan.
Katanya, beliau hanya sempat
melihat hujung dua daripada lima jari adiknya itu putus hingga keadaan kulitnya
terkoyak di samping tiga lagi jari hangus.
“Rasa takut melihat keadaan
luka parah dijari Mohd Shafiq Afandi itu, tetapi dalam keadaan terkejut dia
hanya mampu diam semasa mendapat rawatan di hospital berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini adiknya
itu tidak pernah bermain mercun, tetapi biasa bermain bunga api kerana takut
dengan bunyi letupan kuat.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar