Penyanyi yang pernah popular di era 90-an Roy berkata minat untuk bergelar seorang pendidik menjadi pendorong bagi dianya bergelar pensyarah vokal kumpulan koir di pelbagai institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan sejak lima tahun lalu.
Roy atau nama sebenarnya Mohammed Rauzan Alwi, 48, berkata selain minat yang mendalam, peralihan kepada cabang pendidikan tersebut, turut disebabkan senario industri muzik tanah air yang tidak menentu.
“Kalau diikutkan saya memang suka mengajar. Sebab itu, saya berkembang kepada cabang pendidikan apabila industri muzik tanah air menjadi tidak menentu sejak hampir 10 tahun lalu.
“Kini saya bertugas sebagai pensyarah vokal untuk kumpulan koir di Universiti Kebangsaan Malaysia sejak tiga tahun lalu, selain beberapa agensi kerajaan secara separuh masa,” katanya.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kau Ratnaku pada 1992 itu ditemui pada majlis sumbangan Hari Raya anjuran Persatuan Karyawan dan Yayasan Tabung Amanah Muhibah (TAMU) di sini, malam Selasa lalu.
Ditanya adakah peralihan kerjaya itu petanda dia sudah berhenti menyanyi, Roy berkata sehingga kini dia masih lagi menerima pelbagai undangan nyanyian secara konsisten.
“Saya akan terus menyanyi selagi ada hayat. Alhamdulillah, permintaan terhadap saya masih ada dan konsisten. Cuma, saya tidak muncul di media dan tiada publisiti.\
“Bagaimanapun, saya sedang menyiapkan album terbaru yang dijangka keluar pada awal 2013. Empat lagu sudah siap dan saya mencari enam lagu lagi,” katanya.
Mengenai sambutan Aidilfitri, bapa kepada tiga anak ini berkata, dia sekeluarga bakal pulang ke kampung halaman di Johor Bahru, Johor selama dua hari.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar