Gambar Najib Di Pijak, Himpunan Janji Bersih

on 01 September 2012


Tindakan segelintir pihak memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disifatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai tindakan melampau bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan menyiasat perkara tersebut dan seterusnya menyerahkan kepada pihak pendakwaan dan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

"Politik kebencian itu adalah satu perkara yang cukup merbahaya dalam masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama," kata Hishammuddin, yang juga Naib Presiden UMNO, kepada pemberita setelah merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, perkara seumpama itu perlu ditangani dengan bijak dan cepat supaya ia tidak dieksploitasi pihak tertentu.

Selain memijak gambar pemimpin pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55, ada peserta membawa 'bendera baharu' yang disifatkan ramai pihak sebagai tidak menghormati kedaulatan negara.

Hishammuddin berkata, apa yang dilakukan pihak berkenaan juga dibimbangi boleh menjurus kepada keadaan negara menjadi huru-hara, dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi mengenai soal keselamatan negara.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dali Hussin.
UMNO Bahagian Pengkalan Chepa turut mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihadiri ribuan tetamu. 
Ranking: 5

{ 0 Comments... read them below or add one }

Posting Komentar

 
© JOMKONGSISTORY.COM All Rights Reserved