Terlalu menjiwai watak Manja dalam drama bersiri, ‘Bini-Bini Perkasa’, pelakon Yana Samsudin telah mencederakan dua orang pelagak aksi ngeri atau stuntman ketika menjalani penggambaran drama tersebut baru-baru ini.
Perkara ini dikongsi sendiri oleh Yana ketika ditemui pada Majlis Sesi Ramah Mesra Bersama Pelakon ‘Bini-Bini Perkasa’, di Sri Pentas Bandar Utama, baru-baru ini.
“Dalam drama adaptasi dari filem ‘Bini-Biniku Gangster’ ini, babak berlawan lebih banyak berbanding dari filem di mana terdapat lebih kurang 26 babak gaduh dan berlawan yang perlu saya lakukan. Tidak dinafikan, babak dalam drama ini lebih berat apatah lagi ia dilakukan pada bulan puasa.
“Sewaktu penggambaran, saya juga telah mencederakan dua orang stuntman di mana seorang saya terpijak mukanya manakala lagi seorang saya tertumbuk di kepalanya,” ujar Yana menceritakan pengalaman yang membuatkannya lebih berhati-hati selepas itu.
Selain Yana dan Fezrul, pelakon lain yang bakal membintangi drama bersiri ‘Bini-Bini Perkasa’ ini ialah Intan Ladyana, Fadzil Zahari, Nizam Zaidi, Alex Yanz, Epy, Along Ezendy, Zul Suphian, Ruzaidi Abd Rahman, Zaidi Omar dan Afira Liyana.
Drama terbitan MIG Production ini bakal disiarkan bermula 3 September 2012, setiap hari Isnin jam 9.00 malam menerusi slot Aksi TV3. Drama 13 episod ini diarahkan oleh Ismail Bob Hashim. Bagi yang terlepas menonton drama ini boleh melayari laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan layari Facebook serta Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar