Gara-gara perselisihan faham menukar siaran televisyen, seorang pemuda maut dipercayai telah ditikam abangnya di Kampung Telaga Papan di Kemaman malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira 8 malam tersebut kedua-dua beradik itu dikatakan bergaduh dan bergelut kerana salah faham tersebut.
"Semasa bergelut suspek mencapai objek tajam dan kemudian menikam perut mangsa. Sebelum itu pada hari yang sama kedua beradik ini juga bergaduh kerana berebut motosikal," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya mangsa, berusia 23 tahun, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kerteh, Kemaman sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
"Selepas pergelutan tersebut suspek yang berusia 37 tahun terus melarikan diri. Mangsa dipercayai meninggal dunia selepas terkena tikaman tajam pada bahagian badan," katanya.
Manoharan berkata suspek berjaya ditangkap kira-kira jam 4.15 pagi tadi di Kampung Telaga Papan, Kemaman.
Katanya hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman bagi dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar