“Sungguh memilukan apabila panggilan telefon kepada Nur Hidayah (mangsa) dijawab orang lain, memaklumkan rakan saya itu terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia,” kata Nor Zarina Md Tahir, 25.
Dia adalah rakan kepada 2 penuntut peringkat sarjana Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Johor, yang maut dalam kemalangan membabitkan 3 kenderaan di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, kelmarin.
Berikutan insiden menyayat hati itu, Nor Zarina berkata, dia membatalkan hasrat bagi menghadiri kenduri kahwin seorang rakan di Bahau, Negeri Sembilan, semalam.
Mangsa yang maut dikenali Balqis Amira Mat Hasan dan Sharifah Nur Hidayah Syed Salleh, masing-masing berumur 26 tahun.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, 2 rakan karib terbabit terbunuh selepas Perodua Viva dipandu Balqis dalam perjalanan ke Kuantan bersama Sharifah Nur Hidayah dikatakan telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan menyebabkan berlaku pertembungan dengan sebuah Toyota Avanza dinaiki seorang lelaki, Mohd Rasid Hassan, 41, bersama 5 ahli keluarganya.
Perodua Viva tersebut kemudian melambung sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 7 meter di bahu sebelah kiri jalan berkenaan menghala ke Muadzam Shah, Rompin.
Bagaimanapun, mangsa yang berada di dalam 2 kereta terbabit hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pekan (HP).
Katanya, dia tinggal serumah dengan kedua-dua mangsa di Batu Pahat dan mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di UTHM dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Mekanikal.
“Saya terkejut apabila seorang pegawai polis menghubungi saya tengah malam semalam (kelmarin), memaklumkan kedua-dua arwah terbabit dalam kemalangan.
“Bagi memastikan berita itu, saya menghubungi arwah, tetapi panggilan itu dijawab seseorang memaklumkan 2 rakan itu terbunuh dalam kemalangan.
“Ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke Kuantan atas satu urusan sebelum meneruskan perjalanan ke majlis kenduri kahwin rakan kami di Bahau,” katanya yang menetap di Bera.
Nor Zarina berkata, kali terakhir dia berbual dengan arwah Nur Hidayah kira-kira jam 6 petang kelmarin.
“Kami berkawan sejak 2005 ketika sama-sama belajar di Kolej Matrikulasi di Gambang (dekat Kuantan) sebelum melanjutkan pelajaran di UTHM,” katanya sedih dengan kejadian menimpa 2 rakan karibnya itu.
Abang Balqis, Mohd Syafirul Amri, 30, berkata, keluarganya reda dengan kejadian menimpa anak ke-9 daripada 10 beradik itu.
Katanya, kali terakhir mereka bertemu pada Aidilfitri lalu di rumah ibu bapanya di Tanah Merah.
“Balqis seorang yang periang serta peramah dan dia kini menuntut dalam semester terakhir bagi menamatkan pengajian pada peringkat sarjana,” katanya memaklumkan jenazah adiknya itu dibawa ke Tanah Merah bagi urusan pengebumian selepas solat Isyak, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ketika kejadian cuaca baik, manakala kawasan tempat kejadian gelap tanpa lampu jalan,” katanya.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar