|
HACKER GODAM DUIT BERNILAI RM500000 |
MELAKA: Bermodalkan kepakaran menggodam Internet, ‘
penyamun online’
dipercayai mengaut keuntungan kira-kira RM500,000 dalam tempoh dua bulan
daripada sebuah syarikat pengeluar jubin apabila dapat memintas urusan
perbualan syarikat itu bersama pelanggannya dalam Internet.
Perkara itu hanya terdedah kelmarin apabila pengarah urusan
syarikat berkenaan, Lim Boon Choy, 46, hairan apabila pelanggannya dari
Vietnam, Thailand, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Denmark masih belum
membuat bayaran penghantaran jubin sudah diterima mereka sejak Disember
lalu.
Menurutnya, dia menghubungi wakil syarikat itu menerusi telefon di
negara berkenaan kerana masih belum mendapat sebarang bayaran walaupun
semua bekalan diminta sudah dihantar.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila pelanggannya menyatakan semua
bayaran sudah lama dibuat menyebabkannya hairan dan menafikannya.
“Bagi membuktikan bayaran dibuat, pelanggan kami menghantar
salinan slip pemindahan telegrafik dan transkrip perbualan menerusi
‘chatting’ antara wakil syarikat dengan pekerja mereka yang menunjukkan
syarikat kami ada meminta bayaran dibuat tetapi perlu dimasukkan ke
dalam akaun bank lain.
“Saya terkejut dan menafikan perbualan menerusi perisian
‘chatting’ popular itu dan tidak menyangka urusan yang tidak pernah ada
masalah sejak hampir tiga tahun lalu itu ditimpa bala seperti ini.
“Mereka (pelanggan) turut terkejut apabila diminta membuat bayaran
segera dan secara tergesa-gesa ketika perbualan menerusi ‘chatting’
itu, kerana sebelum ini kami tidak pernah bertindak demikian,” katanya,
di sini, semalam.