PETALING JAYA: Penyanyi
Ana Raffali dilaporkan akan bernikah dengan pengurus peribadinya yang dijadualkan pada 25 Februari depan.
mStar Online difahamkan, majlis akad nikah Ana atau nama
sebenarnya Nur Hidayah Mohd Raffali, 27, dengan pemuda yang dikenali
sebagai Naim itu akan berlangsung di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati,
dekat sini, kira-kira pukul 10 pagi.
Ana yang dihubungi
mStar Online bagaimanapun enggan
mengesahkan tarikh tersebut sebaliknya memberitahu akan mengadakan
sidang media bagi mengumumkan perkara berkenaan selepas Anugerah Juara
Lagu ke-26 (AJL26) yang akan berlangsung Ahad ini.
“Ada beberapa urusan berkaitan majlis ini yang belum diselesaikan.
Sebab itu, saya tidak mahu menghebohkannya terlebih dahulu. Bagi saya,
biarlah semuanya selesai, barulah saya akan umumkan kepada semua.
“Apa–apa pun, saya mohon semua pihak bersabar dan tidak tersalah
anggap dengan keputusan saya ini. Tunggu sehingga saya adakan sidang
media perkahwinan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Kecil hati
Sementara itu Ana menyifatkan tuduhan kononnya dia mahu
menyembunyikan majlis pernikahannya seperti yang dilaporkan adalah
sesuatu yang tidak adil buat dirinya dan keluarga.
Dia mengakui berkecil hati dengan dakwaan tersebut, berkata pihaknya
memang sudah merancang untuk mengadakan sidang media khas bagi
mengumumkan berita gembira itu.
Bagaimanapun, keadaan menjadi sebaliknya apabila berita perkahwinan
itu sudah tersebar dalam ruangan gosip sehingga disalah ertikan oleh
segelintir pihak.
“Dakwaan (sembunyi perkahwinan) ini adalah tidak adil buat saya dan
keluarga. Sudah tentu saya sebagai artis akan berkongsi berita baik ini
apabila tiba waktu yang sesuai untuk saya umumkan.
“Masalahnya, saya sedang sibuk membuat persiapan untuk AJL26 pada
Ahad ini. Saya dan keluarga sudah rancang untuk buat pengumuman
perkahwinan selepas AJL selesai.
“Tidak sangka pula, berita itu sudah tersebar tanpa mendapatkan
sebarang penjelasan atau pengesahan daripada saya terlebih dahulu,”
katanya.
Penyanyi lagu
Tolong Ingatkan Aku ini, berkata kesan daripada dakwaan itu memberikan gambaran yang tidak manis kepada dia sekeluarga.
“Apabila timbul cerita saya tidak jemput media dan rahsiakan
perkahwinan, ia memberikan impak yang tidak baik kepada kami sekeluarga.
“Sampai hati pihak yang menyebarkan dakwaan itu. Ia seolah-olah
menggambarkan yang kami tiada adab dan teruk sangat sehingga
menyembunyikan berita baik ini daripada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Ana kini sibuk membuat persiapan terakhir bagi lagu
Kalau Berpacaran nyanyiannya bersama Sohaimi Mior Hassan dan Altimet yang akan bertanding dalam AJL26, malam Ahad ini.