Setiap kali kita berada di pertengahan Ramadan hingga ke Syawal, pastinya langit dan bumi di Malaysia ini akan berdentam-dentum.
Seolah-olah mercun di Malaysia telah di’halal’kan kerana ia terlalu mudah untuk didapati.
Selain itu, mercun yang dijual ada kalanya mercun buatan sendiri, seolah-olah mereka telah menerima ijazah sebagai pembuat bom.
Anda pergilah kemana-mana bazar Ramadan, gerai-gerai jualan di sekitar pusat bandaraya mahupun di ceruk-ceruk kampung, pasti akan ada ‘gerai haram’ yang menjual mercun.
Pernah satu ketika, semasa menunaikan solat dentuman dari merecun tersebut mengejutkan seluruh jemaah surau termasuklah Imam beristighfar panjang seolah-olah kami menunaikan solat di Afghanistan apabila dentuman mercun tidak putus menggegarkan kawasan sekitar.
Lebih mengecewakan lagi apabila ibubapa seolah-olah merelakan anak mereka membeli dan bermain mercun.
Dengan kata mudah, “raya setahun sekali je, biarlah mereka nak main..”
Memang raya setahun sekali, putus jari, pecah muka pun akan berlaku sekali dalam seumur hidup.
Di mana perginya Akta Bahan Letupan pindaan 1991 yang telah mengklasifikasikan mercun sebagai bahan letupan kecil?
Jarang sekali kedengaran pihak berkuasa mengambil tindakan menangkap pemain-pemain mercun.
Justeru, pihak berkuasa haruslah ‘membuka mata’ bukan hanya memantau sebaliknya mengambil tindakan yang sewajarnya supaya isu penjualan mercun secara terbuka mahupun secara ‘gelap’ dapat ditangani.
Dalam masa yang sama, ibubapa seharusnya memantau serta prihatin terhadap setiap pergerakan dan tindakan anak-anak mereka. Jangan sampai ratapan air mata Syawal menyelubungi keluarga anda pada Syawal nanti.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar