Pelakon Dira Abu Zahar mengakui dirinya lebih feminin serta suka bergaya sejak mendirikan rumah tangga buat kali ke-2 bersama pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof, pada November tahun lalu.
Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 28, yang sebelum ini lebih beimej 'tomboy' berkata perubahan tersebut mungkin berlaku atas faktor usia yang semakin matang, dan pada masa sama ingin tampil menarik buat suami tercinta.
"Sebenarnya saya pun tak sedar dengan perubahan ini pada mulanya. Rasanya apabila umur semakin meningkat, perubahan imej ini juga berlaku.
"Kebetulan pula rambut saya semakin panjang, jadi saya dilihat lebih feminin. Ya, memang saya lebih 'kewanitaan' berbanding dahulu," katanya.
Tambah Dira, dia juga lebih senang memakai pakaian pilihan suaminya memandangkan Helmi seorang yang peka mengenai dengan fesyen-fesyen terkini.
"Bagaimanapun, suami tak adalah nak suruh saya berfesyen yang melampau. Kalau pemakaian saya tidak kena, dia akan beritahu.
"Cuma apa yang paling ketara sekali, sekarang ini saya akan mengambil masa selama satu jam bagi bersolek sebelum keluar.
"Sedangkan dahulu saya sedikit pun tak kisah muka ini perlu dirias atau tidak. Sampaikan anak saya, Anggun, pun tanya, 'mama nak ke mana ini muka cantik-cantik?'," selorohnya.
Anggun merupakan anak hasil perkahwinannya dengan bekas suami Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid yang bercerai pada 8 April 2010.
Dalam pada itu, lakonan terbaru Dira dapat disaksikan menerusi filem Untuk Tiga Hari yang bakal ditayangkan pada 20 September ini.
Selain Dira, antara barisan pelakon lain ialah Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Zizan Nin, Zizan Razak, Afdlin Shauki dan Ainul Aishah.
{ 0 Comments... read them below or add one }
Posting Komentar