Aktres
Faezah Elai,30, tidak akan menerima mana-mana tawaran berlakon
sekiranya watak yang diberi berkehendakkan dia melakukan aksi ranjang
ataupun berkemban.
Faezah berkata, suaminya yang juga pengarah drama Heykal Hanafiah,39,
melarang dia berbuat demikian atas kedudukannya sebagai wanita yang
sudah berumah tangga.
“Suami saya ada bagi nasihat yang dia tidak mahu saya memegang
mana-mana watak yang agak melampau seperti berkemban ataupun aksi-aksi
di atas katil.
MENARIK HARI INI:
“Katanya, sebagai wanita yang sudah berkahwin, watak seperti itu
tidak sesuai. Takut nanti saudara mara dan sesiapa sahaja akan memberi
persepsi negatif,” katanya kepada
mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.
Menurut Faezah, selain menghormati permintaan suami, hatinya sendiri
tidak pernah terbuka untuk melakonkan watak itu kerana memahami
kedudukannya yang sudah berumah tangga.
Sebelum ini pun jelasnya, dia tidak pernah menerima watak-watak
sedemikian dan memilih untuk mengekalkan prinsip tersebut selepas
berkahwin.
“Kalau nak ikutkan, sejak dulu pun saya tak pernah ambil watak yang melampaui batas. Apatah lagi selepas menjadi isteri orang.
"Saya tak nafikan suami saya akan menilai skrip terlebih dahulu
sebelum membenarkan saya menerima mana-mana tawaran agar watak yang
diberikan itu bersesuaian dengan status saya,” ujarnya.
Ditanya mengenai cahaya mata selepas kira-kira empat bulan mendirikan
rumah tangga, Faezah berkata buat masa ini mereka belum dikurniakan
rezeki walaupun sudah beberapa kali mendapatkan nasihat daripada doktor.
Bagaimanapun perkara itu tidak memberi apa-apa tekanan kepadanya kerana dia percaya terhadap rezeki daripada Allah.
“Saya tahu, orang yang berkahwin memang memerlukan anak. Tapi kalau
masih belum ada, ia bukan masalah sangat. Kita tunggulah dalam masa
setahun ni. Kalau tak ada rezeki juga, mungkin saya akan dapatkan
rawatan dengan lebih serius,” jelasnya.
Mengenai aktiviti selepas kahwin, Faezah banyak menerima tawaran
berlakon termasuklah untuk telefilem terbaru berjudul “Bukan Hanya
Sedetik” terbitan Global Station Sdn Bhd dengan memegang watak utama.
Dalam drama itu dia bergandingan bersama Aqasha dalam sebuah kisah kekeluargaan.
Sementara itu jelas Faezah, dia mulai risau dengan berat badannya
yang bertambah sebanyak lima kilogram berbanding 45 kilogram sebelum
ini.
Atas sebab itu dia berusaha untuk mengurangkan berat badan dengan hanya mengambil nasi sekali sehari.
“Saya risau badan saya naik. Bukannya apa, di televisyen, nanti kita
akan nampak besar. Sebab itulah saya kena pastikan badan saya normal
macam dulu,” katanya.