|
ZIZAN BERLAGAK? TOLAK TAWARAN AHMAD IDHAM |
KUALA LUMPUR: Pengarah filem
Ahmad Idham Ahmad Nadzri
menyangkal dakwaan dia berkecil hati dengan pelakon dan pengacara
Zizan Razak kerana menolak tawaran membintangi teater muzikal
Mael Lambong yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan di Istana Budaya (IB).
Ahmad Idham berkata sebagai individu yang mengenali Zizan sebelum
pelawak itu menyertai bidang seni lagi, dia berasa terkejut kerana
penolakan tersebut tidak disampaikan secara terus oleh Zizan tetapi
menerusi pihak pengurusannya.
“Sebagai pengarah profesional, tidak timbul isu saya berkecil hati
atau marah dengan keputusan Zizan yang enggan menerima pelawaan saya
untuk teater
Mael Lambong yang dirancang pada hujung tahun lalu.
“Itu adalah hak dia cuma dia menolak tawaran tersebut pada saat-saat
akhir selepas memberi persetujuan secara lisan ketika perbincangan
diadakan sebelum ini.
“Itu pun, bukan datang daripada mulutnya sendiri tetapi menerusi pihak pengurusan,” katanya yang ditemui
mStar Online, baru-baru ini.
Zizan Sudah Besar Kepala?
Enggan merumitkan keadaan, Ahmad Idham berkata apa yang lebih
membimbangkannya jika Zizan sudah berubah sikap seperti yang didakwa
segelintir pihak kerana ia boleh menjejaskan kerjayanya seperti sebelum
ini.
“Dia pernah didakwa berlagak, besar kepala dan tiada komitmen dalam
kerja sebelum ini sehingga menyebabkan kerjayanya terumbang-ambing
seketika.
“Mujurlah selepas dia bekerjasama dengan saya dalam filem
Hantu Bonceng, populariti dan namanya kembali meningkat pada tahap dia berada sekarang.
“Saya sayangkan dia seperti seorang adik. Saya bimbang jika kesilapan
pihak pengurusannya membuat keputusan dan percaturan jadual seni Zizan
akan membawa dia ke ambang kejatuhan semula,” katanya dalam nada kesal.
Apabila ditanya adakah susulan penolakan Zizan itu memaksa pihaknya menggantikan teater muzikal itu kepada
Gerimis Mengundang pada saat-saat akhir, Ahmad Idham berkata ia tiada kaitan kerana pementasan teater
Mael Lambong hanya dirancang secara lisan tanpa ada hitam dan putih.
“Slot untuk pementasan teater muzikal di IB pada Mac depan memang
sudah disediakan untuk kami. Namun, tiada pengesahan dan hitam putih
bahawa kami akan mementaskan
Mael Lambong di sana.
“Tidak timbul isu pementasan
Gerimis Mengundang adalah sebagai ganti selepas Zizan enggan menyertai
Mael Lambong,” katanya.
Reaksi Zizan Terhadap Tuduhan Negatif Keatasnya
Sementara itu, pengacara program
Raja Lawak itu pula berkata
keengganannya untuk menyertai pementasan muzikal berkenaan tiada
kena-mengena dengan dakwaan dia sudah berubah sikap dan besar kepala.
“Saya menolak pelawaan tersebut kerana tidak boleh memberikan
komitmen pada tarikh yang dirancang itu. Daripada saya paksa diri untuk
bersetuju tetapi akhirnya tidak dapat beri komitmen, lebih baik saya
tolak daripada awal.
“Adalah tidak adil untuk menuduh saya sudah berubah sikap hanya kerana saya menolak tawaran projek itu,” luahnya.
Zizan berkata penolakan tawaran tersebut tidak dilakukannya secara
terus kerana dia sudah menyerahkan segala urusan kerja kepada pihak
pengurusan.
“Saya tidak pernah memberikan persetujuan dan tiada hitam dan putih
dalam perjanjian itu. Ia hanya perancangan secara lisan semata-mata.
“Apabila membabitkan urusan kerja, saya lebih selesa serahkan ia pada
pengurusan kerana saya membayar mereka untuk mengawal selia jadual seni
saya,” luahnya.
Menjawab dakwaan hubungan mereka menjadi dingin selepas insiden
tersebut, Zizan berkata berdasarkan pengamatannya perkara itu tidak
berlaku kerana mereka masih berbual mesra apabila bertemu khususnya pada
pentas
Raja Lawak musim keenam yang kini berlangsung pada setiap malam Jumaat di Pusat Penyinaran Asia (Astro).
“Saya tidak tahu pula kalau ada orang kata kami sedang berperang
dingin. Apa yang saya lihat Idham bersikap seperti biasa setiap kali
kami bertemu. Mungkin itu hanya dakwaan kosong,” katanya.
Selain
Hantu Bonceng, Zizan akan muncul dalam dua lagi filem arahan Ahmad Idham iaitu
Jangan Pandang-Pandang dan
Mael Lambong.